Siaran LD FM Bakal Mencetus Revolusi Lahad Datu



LAHAD DATU, 26 Sep – Lahad Datu bakal bergegar lagi melalui penyaluran maklumat dan info terkini apabila tertubuhnya radio dalam talian, ‘Lahad Datu FM’ (LDFM) pada Ahad lepas di daerah berkenaan. Stesen LD FM bakal mencetus revolusi Lahad Datu dalam bidang penyiaran.

Seiring dengan peredaran masa yang kian maju, canggih dengan teknologi serta persaingan hebat antara generasi teknologi mendorong belia di daerah berkenaan mewujudkan radio dalam talian khusus buat penduduk Lahad datu.

Pengarah Operasi LDFM, Jeffrey Hussein berkata, penubuhan radio dalam talian ini menjadi satu platform kepada belia di daerah ini membantu menyampaikan pelbagai mesej pembangunan kepada masyarakat di daerah ini.


“Masyarakat di sekitar daerah Lahad Datu kini boleh mendapat pelbagai maklumat yang berlaku di daerah ini hanya dengan mendengar Lahad Datu FM.

“Kita ingin masyarakat Lahad Datu perlu terus berubah mengikuti peredaran semasa yang kian membangun daripada pelbagai sudut pembangunan,” ujarnya.

Tambahnya, kewujudan stesen khusus LDFM ini akan memberi peluang kepada belia untuk mengembangkan bakat dan potensi yang ada pada diri terhadap bidang penyiaran dan seterusnya membuka ruang kerjaya dengan menceburi bidang berkenaan.


Jeffrey turut berkata, setakat ini inti pati siaran akan lebih menumpukan kepada info yang ada di Lahad Datu selain mewujudkan beberapa slot khusus terhadap bahasa suku kaum yang terdapat di daerah ini.

Prapelancaran dan operasi siaran julung kali ini mendapat respons positif daripada para pendengar sekitar Lahad Datu tersebut yang disampaikan melalui  laman ‘Facebook’ (fb) radio berkenaan yang dikelolakan oleh Media Creative  Network Mcn Lahad Datu.

Setakat ini, LDFM mempunyai seramai 18 orang penyampai radio yang akan  bersiaran secara bergilir-gilir mengikut slot yang disediakan.

Jelas Jeffrey lagi, masyarakat sekitar Lahad Datu dan juga anak jati daerah ini yang berada di mana-mana sahaja boleh mendengar radio dalam talian melalui aplikasi LDFM yang boleh dimuat turun menerusi telefon mudah alih bagi memudahkan para pendengar terutama sekali anak muda mendengar siaran radio ini secara langsung dimana sahaja.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan, Industri dan Komoditi, YB Datuk Haji Datu Nasrun Bin Haji Datu Mansur turut menyatakan rasa bangga terhadap inisiatif belia di daerah ini yang berusaha menubuhkan radio dalam talian LDFM ini.


“Kewujudan siaran radio ini pastinya dapat membantu pengurusan pembangunan di daerah terbabit dalam menyampaikan pelbagai maklumat pembangunan dan info semasa tentang pelbagai peristiwa yang berlaku di daerah ini.

Tambahnya lagi, semoga pengurusan pentadbiran radio ini akan dapat memajukan lagi stesen ini pada masa akan datang termasuklah mendapatkan frekuensi siaran pada masa akan datang.


YB Datuk Haji Datu Nasrun juga menyatakan sokongan penuh penubuhan ini walaupun hanya boleh didengar melalui dalam talian namun pada masa akan datang menjadi saluran utama penyaluran maklumat untuk masyarakat di daerah ini memperoleh maklumat sahih, tepat dan semasa.

Beliau kemudiannya merasmikan majlis Pra-Pelancaran Radio Online tersebut di Studio 41 LDFM. Pelancaran turut di hadiri oleh Pengerusi MCN, Niryasim Kassim, Ketua Pengawai Eksekutif MCN Abdul Azim Zakariah dan Pengarah Urusan Datu Fazhir.


- Hakcipta © 2021 | LDHitz FM