Kenali Artis Kita : CHELLUT

 



Kenali Artis Kita kali ini akan mengupas mengenai salah seorang Penyanyi & Komposer termuda daerah Lahad Datu iaitu saudari Chellut. Beliau yang berumur 24 tahun adalah merupakan anak kepada pemilik studio rakaman dan penerbitan CJ Plus Production di daerah Lahad Datu iaitu Encik Azran Bin Haji Tuaran. Chellut juga merupakan satu-satunya komposer wanita termuda di daerah ini yang telah mencipta beberapa hasil karya lagu di kalangan penggiat-penggiat seni muzik daerah.

Beliau telah mencipta beberapa buah lagu antaranya lagu Hanya Padamu, Sama-sama Setia, Diriku Rela Pergi, Biarlah Sendiri, Mengeluh dan True Love. Beliau juga adalah komposer bagi etnik suku kaum idahan yang mencipta lagu tema etnik idahan di bawah terbitan Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) bertajuk Sapagayo hasil karya bersama Ayim Mentor.

Di awal penceburan sebagai seorang penyanyi, beliau pernah menjadi vokalis salah sebuah kumpulan band iaitu The Melodiez dan merupakan antara penyanyi yang sering muncul di pentas-pentas besar daerah antaranya mendapat penghormatan sebagai penyanyi tempatan yang di jemput menyanyi mengiringi artis-artis terkemuka seperti Ella, Ramli Sarip, Dato A Rahman Hassan dan artis-artis terkemuka Malaysia di Konsert Festival Sayangi Lahad Datu 2019.

Selain menyanyi dan mencipta lagu, beliau juga merupakan bekas penari kebudayaan etnik idahan. Dengan pencapaian beliau di usia muda dalam bidang penciptaan lagu, beliau telah di nobatkan sebagai penerima Anugerah Seni Muzik kategori Komposer Terbaik, Anugerah Industri Seni & Media (AISME) Lahad Datu tahun 2020. Perkembangan terkini, beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar dan mentor bagi program Lahad Datu Voice anjuran Azam Yakob.

#LDHitzFM
#PastiHitz #MenghiburAnda



- Hakcipta © 2021 | LDHitz FM